Mayat ke Empat Warga Asing Ditemukan - TARGET RIAU

Kamis, 14 Oktober 2021

Mayat ke Empat Warga Asing Ditemukan


PONTIAN - Satu lagi mayat disyaki warga Indonesia ditemukan lemas pada jarak 500 meter dari pesisir pantai dalam kejadian bot karam dipercayai dinaiki sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) berdekatan Pantai Rambah, semalam.

Penemuan itu menjadikan jumlah mangsa yang terkorban ketika ini empat orang selepas tiga mayat lelaki warganegara asing ditemukan orang awam semalam yang menghubungi talian kecemasan kira-kira pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib berkata, polis tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi mangsa yang lemas dalam kejadian itu.

“Operasi masih berjalan di kawasan pantai di daerah ini sepanjang kira-kira 12 kilometer dengan bantuan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Kukup. 

“Penemuan satu lagi mayat lelaki dewasa dipercayai PATI pada kira-kira pukul 7.20 pagi ini menjadi petunjuk baharu,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, tiga mayat warga asing dipercayai PATI dari Indonesia ditemukan terdampar di Pantai Rambah selain pasukan penyelamat turut menemukan sebuah bot laju dan enjin sangkut 200 kuasa kuda. 

Sementara itu, Mohamad Shofee berkata, sebuah beg sandang kecil berwarna hitam ditemukan terlekat pada kayu bakau berhampiran mayat yang mengandungi pengenalan diri dipercayai milik salah satu mayat terbabit.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas keempat-empat mayat terbabit mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Pontian untuk bedah siasat. 

“Hasil siasatan awal mendapati empat mayat ini dipercayai mati lemas ketika menaiki bot yang kemudiannya karam ketika dalam perjalanan untuk masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan. 

“Ini kerana kedudukan perairan Pontian dengan Kepulauan Riau Indonesia terutama di Karimun terlalu hampir yang difahamkan hanya mengambil masa kira-kira 45 minit menggunakan bot laju,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Faizal Maulot di talian 013-376 6270 atau melaporkan di balai polis berhampiran.(***)



Sumber : utusan.com.my

Bagikan berita ini

Disqus comments