FILEM NI JADI KE TAK JADI? - TARGET RIAU

Jumat, 22 April 2022

FILEM NI JADI KE TAK JADI?


“Putera Makassar Mahkota Bugis" filem EPIC selepas filem polis evo ini yang menelan kos sebanyak RM20 Juta. antara pelakon yang akan menjayakan filem ini ialah Shaheizy Sam, Adi Putra, Izara Aishah, Wan Raja dan Syafiq Kyle.

 ''Sejarah perjuangan pahlawan Melayu khususnya bangsa Bugis dalam membantu mempertahankan Kesultanan Melayu di Nusantara bakal diketengahkan dalam filem epik terbaharu tempatan, ‘Putera Makassar Mahkota Bugis’.

Produser filem, Asmadie Mokhadar berkata sumber rujukan filem itu yang diambil daripada teks ‘Tuhfat al-Nafis’ berkisarkan sejarah pengembaraan lima pahlawan dari Makassar, Indonesia ke Tanah Melayu untuk membantu Kesultanan Johor yang mengalami masalah rampasan kuasa.

“Pahlawan yang digelar ‘Daeng Lima Bersaudara’ ini digambarkan sebagai lima bersaudara yang handal bersilat, bermain senjata dan mempunyai ilmu kepakaran yang tinggi dalam pelayaran.

Malah, asal-usul silat gayong di Tanah Melayu juga datang daripada mereka,” katanya.

Asmadie berkata penerbitan filem yang telah mendapat perkenan dari Istana Johor itu melibatkan elemen aksi sebanyak 80 peratus dan selebihnya adalah dialog yang menggunakan bahasa seperti Melayu lama dan Bugis.

“Penggambaran akan diadakan di Kedah, Makassar dan Johor yang berlatar belakangkan tahun 1699,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran filem itu, di sini malam tadi.

Majlis pelancaran itu dirasmikan Pemangku Datuk Paduka Maharajalela Negeri Pahang, Tengku Datuk Ibrahim @ Alam Shah Tengku Abdul Ghani yang mewakili Raja Permaisuri Agong dan turut menyampaikan replika cek bernilai RM1 juta bagi pihak Jabatan Perdana Menteri untuk filem ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM20 juta ini bakal memulakan penggambaran pada Mei ini dan akan ditayangkan serentak di pawagam seluruh negara, Indonesia, Thailand dan China pada 31 Ogos 2017.

Fllem terbitan Taglog Sdn Bhd di bawah arahan Ghaz Abu Bakar itu diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Usahawan Generasi Felda Malaysia, Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah dan Persatuan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.

Ghaz berkata cerita itu digarap daripada perspektif beliau sendiri dengan menampilkan elemen aksi, komedi, percintaan dan fiksyen zaman dahulu serta dalam masa yang sama mengangkat kembali martabat orang Melayu seperti adab dan tatasusila, jati diri dan budaya.

“Selain itu, berdasarkan teks itu (Tuhfat al-Nafis), penceritaan mengenai sejarah ini begitu panjang dan kami ambil keputusan untuk kecilkan skop cerita ini agar penonton dapat ikuti pengembaraan ini dalam satu jangka masa yang pendek,” katanya.

Ghaz berkata beliau juga optimis mengenai sambutan daripada anak muda tempatan terhadap filem epik ini memandangkan ianya bukan satu karya sejarah dan aksi yang biasa ditonton sebelum ini.

“Pemilihan pelakon juga amat dititikberatkan di mana pelakon yang dipilih perlu mempunyai asas dalam seni silat dan mereka juga perlu menjalani latihan intensif silat agar dapat memberi persembahan yang sebenar tanpa bantuan orang lain,” kata Ghaz yang pernah mengarah filem Polis Evo ini.

Bagikan berita ini

Disqus comments